Tuesday, October 26, 2010

Manmohan bangga Pencapaian Etnik India Malaysia

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Perdana Menteri India, Manmohan Singh melahirkan rasa bangga dengan pencapaian serta sumbangan yang diberikan oleh kaum India di negara ini.

Perkara itu disampaikan pemimpin tersebut kepada Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh), Tan Sri Darshan Singh Gill ketika kedua-dua mereka mengadakan pertemuan di New Delhi, baru-baru ini.

Menurut Darshan, Manmohan tidak ketinggalan mengikuti perkembangan rakyat Malaysia berketurunan India di sini termasuk komuniti Sikh yang berjumlah 100,000 orang.

"Beliau turut menunjukkan minat tinggi terhadap perkara-perkara yang menyentuh tentang kemajuan Malaysia, khususnya berkaitan masyarakat India yang telah bermigrasi ke negara ini.

"Begitu juga kepada masyarakat Sikh yang bilangannya cukup kecil. Kami boleh diibaratkan seperti 'minoriti dalam minoriti.' Meskipun begitu, kami tetap setia dan akan bersama membantu kemajuan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia sempena kunjungan rasmi Manmohan ke Kuala Lumpur, Rabu ini.

Dalam kunjungan itu nanti, Manmohan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan projek 'Little India' di Brickfields.

Mengulas lanjut Darshan berkata, dalam pertemuan bersama Manmohan di India, beliau berpeluang menghadiahkan pemimpin itu sebuah buku berjudul 'Sikh Community in Malaysia'.

Buku setebal 270 muka surat dalam bahasa Inggeris itu merupakan tulisan beliau sendiri yang memperlihatkan kejayaan masyarakat Sikh di negara ini

Utusan Malaysia, 26/10/2010

No comments: